Friday 1 March 2013

Dedikasi Buat Seorang Guru

Dedikasi Buat Puan Hajah Saffiah binti Omar (Bersara pada 2 Mac 2013) Segala-galanya bermula pada tarikh keramat ini. Lembaran sejarah tercatat pada 2 Mac 1957 di daerah yang terkenal dengan adat pepatih iaitu Johol, Negeri Sembilan. Lahirnya insan yang bakal mewarnai pentas pendidikan dengan penuh tabah dan rela. Puteri yang bertuah ini diberi nama Saffiah binti Omar yang bermaksud kelembutan. Kerjaya beliau sebagai seorang guru dilakar dan diukir seawal tahun 1979 di Sekolah Tinggi Kluang. Dari Sekolah Tinggi kluang, beliau bertukar ke SMK Jalan Batu Pahat yang kini dikenali sebagai SMK Tun Hussein Onn pada tahun 1981. Seterusnya beliau meneruskan khidmat bakti di SMK Skudai pada tahun 1986. khidmat beliau tidak terhenti di sini, ilmu yang ada di dada disemai kepada anak didik di SMK Paduka Tuan, Segamat pada tahun 1986. Setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya kembali ke belakang kerbau jua. Begitulah beliau, beliau kembali bertugas di SMK Tun Hussein Onn Kluang pada tahun 1987.

Destinasi kembara ilmu beliau berakhir di SMK Taman Sri Kluang dari tahun 2005 hingga tanggal 1 Mac 2013. Pengalaman telah mendewasakan beliau dengan pelbagai detik manis. Antara detik manis dalam hidup beliau ialah beliau dan pasangannya Haji Hamzah bin Haji Amir telah dikurniakan sepasang cahaya mata kembar Norzahidah dan Norzahirah 26 tahun yang lalu yang juga bertugas sebagai guru, manakala anak ketiga dan keempat, Syahmin dan Afdah bekerja sendiri dan anak bongsu beliau Nurul Nadia masih menuntut di Kolej Universiti Islam Malaysia. Sebagai guru Puan Hajah Saffiah begitu gembira apabila anak-anak didiknya mengukir kejayaan yang gemilang. Mengenali Puan Hajah Saffiah binti Omar ialah detik manis bagi setiap teman dan taulan. Guru yang amat disenangi oleh anak didiknya ini gemar bermain bandminton untuk mengisi waktu luang beliau. Bertubuh kecil molek tetapi suka menikmati makanan. Makanan kegemaran beliau ialah puding dan sayur chop chai manakala horlicks ialah minuman pilihan.

Dalam meniti usia persaraan Puan Hajah Saffiah merancang untuk mendalami ilmu agama dan hidup tenang di samping keluarga tercinta. Kami mendoakan agar kehidupan Puan Hajah Saffiah terus diberkati dari dunia hingga ke syurga. Akar keladi melilit selasih, Selasih tumbuh di hujung taman; Kalungan budi junjungan kasih, Mesra kenangan sepanjang zaman. Saya bacakan biografi ini sempena Majlis Persaraan Puan Hajah Saffiah binti Omar di Dewan Sri Baiduri, SMK Taman Seri Kluang, Kluang, Johor

No comments:

Post a Comment